test

Selasa, 23 Oktober 2007

Daya Graviti sudah tidak mempunyai vektor?

Angkasawan Negara telahpun 'jatuh' secara balistik menggunakan Kapsul angkasa Soyuz.

Seperti yang ramai orang telah maklum, ketika kemasukan semula, ia dikenakan daya graviti yang melampau sebanyak antara 4 hingga 5 G. sebagai perbandingan, daya graviti di bumi dianggap sebagai 1 G. Jika di bumi, anda mengangkat sekilo beras, ketika kemasukan semula, sekilogram beras itu umpama seberat 4 hingga 5 kilogram.

Kita ambil 3 senario graviti yang berbeza.
1. di bumi
2. di ISS
3. di dalam kapsul soyuz ketika kemasukan semula.

Dalam dunia fizik, 'Berat' dan 'Jisim' adalam berbeza. Dimana Jisim 1 kilogram beras adalah 1 kilogram dimana-mana, di bumi, atau pun di ISS atau di dalam kapsul soyuz ketika kemasukan semula.

Akan tetapi 'berat' bagi 1 kilogram beras adalah berbeza ketika di ISS, di bumi dan di dalam kapsul Soyuz ketika kemasukan semula.

Berat adalah sesuatu yang dirasai, kita angkat 1 kilogram beras dibumi adalah lebih berat daripada angkat 1 kg beras di ISS. Akan tetapi kalau angkat 1 kg beras ketika kemasukan semula, beras itu akan lebih berat dari 1 kg di bumi. Jisimnya tetap 1 kg.

Berat itu Daya.
F=m*a
Daya = jisim kali pecutan

Berat = jisim kali pecutan graviti.

yang dikatakan 1 G 4-5G itu adalah daya graviti.
G (huruf besar) adalah Daya Graviti
g (huruf kecil) adalah pecutan graviti.

Apabila pecutan graviti (g) bertambah, daya graviti (G) juga bertambah (kerana jisim tak berubah).

Yang pastinya graviti bukan tekanan (pressure), dalam konteks tekanan darah, tekanan tayar, tekanan air. diukur dalam unit psi,bar,Pa,cmHg

Walaubagaimanapun, amat mengecewakan apabila Nizal Mohammed, mengatakan bahawa Sheikh Muzafar mengelami tekanan graviti ketika siaran langsung pendaratan Soyuz.

Walaupun dibantu oleh Astronaut tersohor Robert Gibson, Nizal tetap salah apabila dia mengatakan 'tekanan' graviti. Sheikh Muszaphar bukannya menyelam ke dasar laut yang dalam sehingga mengalami tekanan yang kuat.


Bayangkan seorang pelajar yang ingin mengetahui proses kemasukan semula Soyuz , tertipu dengan 'tekanan' yang dinyatakan oleh Nizal. Bukan salah dia, tapi saya rasa perlu ada seorang Cikgu/Pensyarah Fizik tempatan di sebelahnya.

Daya, seringkali di panggil "tekanan" sudah banyak kali. Ini bukan isu istilah mana yang lebih sesuai, sama 'daya' vs 'tekanan'. Akan tetapi ia adalah 2 perkara yang berbeza.
Tekanan tidak mempunyai vektor.


Orang Kampung mungkin boleh mengganggap tekanan adalah sama dengan daya, akan tetapi apabila acara penting yang menyebabkan ramai pelajar ingin mengetahui tentang proses kemasukan semula Soyuz, akan terkeliru dengan tekanan vs daya.

Sememangnya istilah 'daya' jarang digunakan oleh penduduk Malaysia kerana ia hanya wujud dalam matapelajaran fizik, sudahlah ianya digantikan dengan 'force' ketika di sekolah, maka yang tinggal menggunakan istilah 'daya' adalah orang yang mendalami ilmu fizik secara subversif (seperti pengunjung blog ini).

Suatu ketika dulu, Iklan Sauber PETRONAS juga menggunakan 'tekanan' untuk merujuk kepada 'downforce', daya kebawah (ingat lagi iklan kereta F1 melekap ke permukaan atas terowong). Iklan budak Jerman BMW Sauber telah dibaiki dengan menggunakan 'daya tekanan' walaupun kurang tepat, tetapi sudah guna istilah 'daya'.


p/s: Kiriman blog ini ditujukan buat Cikgu Fizik saya En Vellupilai Ponudurai, yang mengajar fizik kepada saya pada tahun 1991 - 1992. Walaupun setelah 16 tahun, ilmu itu masih segar diingatan. Terima kasih kerana penceritakan tentang 'reentry' walaupun tiada dalam sukatan.

0 comments:

Catat Komen

Google+ Hasbullah Pit